PERLIS

PERLIS adalah sebuah negeri yang kecil di Malaysia. Negeri ini terkenal dengan keindahan semula jadi, kawasan luar bandar dan hamparan tanaman padi yang saujana mata memandang. Sebagai negeri paling utara di negara ini, cuaca di Perlis agak panas di antara 21 darjah celcius hingga 32 darjah celcius. Sepanjang tahun ia mengalami cuaca yang kering dan ia mencatatkan jumlah hujan, 2,500 sentimeter setahun, dari Mei hingga Disember. Perlis mempunyai banyak tempat tarikan pelancong untuk dikunjungi, antaranya:

* Gua Kelam

Ia terletak kira-kira 26 kilometer dari Kangar. Gua batu kapur ini berhampiran Wang Kelian, sempadan Malaysia-Thailand. Zaman dulu, gua ini digunakan untuk membawa barang antara penduduk tempatan dan masyarakat Siam.

Ia tidaklah terlalu gelap seperti yang anda sangka kerana sepanjang laluannya disediakan lampu untuk memudahkan pelancong melihat pemandangan di dalam gua itu.

* Padang Besar

Padang Besar ialah kawasan beli-belah yang berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. Anda boleh berjalan kaki untuk sampai ke wilayah Thailand jika mempunyai pasport atau pas sempadan. Kebanyakan barang sama ada keluaran tempatan atau dibawa dari Thailand. Harganya yang murah menyebabkan ia menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar termasuk dari Eropah, China dan Jepun.

* Kuala Perlis

Ia terletak di perairan Sungai Perlis. Kuala Perlis memang terkenal dengan laksa kuah belut. Ia juga menjadi tempat masuk bagi pelancong yang mahu Ke Langkawi atau wilayah di Selatan Thailand. Kemudahan feri dan bot membolehkan pelancong melihat pemandangan indah sepanjang perjalanan ke destinasi yang dituju.

* Arau

Arau ialah bandar diraja, terletak kira-kira 10 kilometer dari Kangar. Di sini, anda boleh melihat Istana Diraja dan Masjid Negeri.

* Tasik Melati

Tasik Melati kecil tetapi ia terletak di kawasan tanah rendah, kira-kira lapan kilometer di utara Kangar. Di sini, anda boleh melihat lebih 150 beting pasir yang menyerupai pulau. Anda boleh menggunakan bot atau sampan untuk bersantai dia tasik ini.

* Gunung Medan

Gunung Medan terletak kira-kira enam kilometer di selatan Kangar. Kawasan ini mengandungi 300 kaki tinggi batu kapur. Ia boleh dikunjungi sama ada menggunakan kereta atau berjalan kaki memanjat bersama rakan.

* Taman Ular

Taman Ular asalnya digunakan untuk membuat penyelidikan mengenai reptilia itu sama ada bisa yang dihasilkan dan pembiakannya. Pelbagai jenis ular termasuk tedung selar, sawa, ketam padi dan kapak boleh anda lihat di sini. Taman ini sering menganjurkan pertunjukan ular untuk menarik minat pelancong mengunjungi tempat ini.

* Membeli belah

Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand memang terkenal sebagai syurga beli-belah dengan harga yang murah. Di Padang Besar, anda boleh mendapatkan apa saja daripada barangan kulit, beg tangan, baju-T, kemeja dan barangan rumah. Ia dihasilkan di Thailand dan dijual di sini.

Sementara, pusat beli-belah di Bukit Kayu Hitam terkenal dengan barangan bebas cukai.

* Bagaimana ke sini

Pengangkutan udara - Perlis tidak mempunyai lapangan terbang. Lapangan terbang paling dekat ialah di Jitra, Kedah. Dari sana, anda boleh mengambil teksi yang perjalanannya mengambil masa 45 minit ke Kangar.

Jalan darat - Bas adalah pengangkutan paling mudah kerana ia menghubungkan bandar-bandar besar di seluruh negara. 

* sumber Harian Metro 22/7/2010